Friday, December 25, 2009

FIKIR POSITIF... PERLU BELAJAR DARI ORANG YANG POSITIF

Bukan mudah nak jadi ORANG YANG POSITIF. Dan bukan susah nak jadi ORANG NEGATIF. Nak tengok diri kita jenis yang mana, tengoklah bila terjebak dalam masalah. Malangnya masa tu kita tak ada masa nak menilai diri. Kenapa?

Kerana fokus kita ialah... bagaimana nak keluar dari masalah? Cuba kita renung beberapa situasi yang kadang-kadang tu, kita pun mungkin pernah mengalaminya.

SITUASI #1
1. Ada pemandu yang memotong ikut suka hati masa laluintas sesak. Berapa bakul maki hamun kita kerana bengang padahal dia tak dengar pun malah tak peduli pun... Ada tak kita pujuk diri? Fikir, mungkin orang tu ada kecemasan ker...terlewat nak pergi kerja ataupun nak terkucil ker...wohaa..

SITUASI #2
Kena marah dengan boss. Dah tu depan orang ramai pulak. Tebal muka jangan cakaplah. Dalam hati menyumpah-nyumpah kat boss. Apa tindakan kita selepas itu? Lawan balik dengan semangat perjuangan yang membara atau cari sape-sape je untuk lepas perasaan. Lepas kat orang bawahan kita ker..atau cari sape yang bawak mulut..bagitau boss?

Orang positif berfikir cukup mudah. Apa amalan aku yang tak betul sehingga Allah datangkan kepahitan ni pada aku... Jaranglah kita nak mengaku ia kesalahan kita, salahkan orang lebih senang. Tak pun salahkan boss. Tak gitu..hehehe?

Kata orang motivasi:
Orang yang negatif akan bercakap tentang masalah manakala orang yang positif memikirkan penyelesaian.

Firman Allah s.w.t:
Orang-orang yang beriman apabila ditimpa musibah akan berkata:
" Innalillahi wa inna ilaihi ra ji'un. - Perkara ini datang dari Allah dan kepada Allah kita kembali."

[Salah faham yang biasa, doa ni baca kalau ada orang mati je. Bukan begitu...ia di baca setiap kali kita terkena musibah]

Firman Allah lagi"
Ma asobaka min hasantin, faminallah. Wama asobaka min sayyi atin famin nafsik. - Apa yang baik itu dari Allah dan apa yang buruk itu dari dirimu sendiri!"

Ok. Dibawah ini adalah beberapa ciri positif yang kita boleh pilih nak ikut ataupun tak.

1. Dalam kesempitan ada kesempatan
Sir Richard Branson - Terkandas di Beef Island semasa nak balik dari bercuti. Kapal terbang yang membawa mereka ke Puerto Rico tidak dapat terbang. Orang ramai marah dengan kejadian itu tapi dia hanya fikir bagaimana dia dapat balik. Setelah mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan sewa kapalterbang dia membuat keputusan untuk menyewanya. (Harganya USD2000)

Setelah membuat kira-kira, dia kemudiannya telah menaikkan satu poster yang dibuat sendiri dengan kertas. Dia mengenakan tambang kepada orang yang ingin menumpangnya; Beef Island ke Puerto Rico USD 39 seorang. Semua tempat duduk terjual. Bukan setakat dia boleh balik bahkan dapat untung lagi.

2. Dengar dahulu pendapat orang lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, seorang presiden lain yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat negaranya. Akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan.

3. Sentiasa mencari jalan memperbaiki diri
Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan Amerika ada berkata:
“Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia”.

Dengan sikap seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian juga, dapat pula ia membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara yang membina.

Orang yang positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakannya - berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya.

3. Fokus kepada nilai (manafaat)
Arwah Pak Usop yang berkerja sebagai tukang kebun. Waktu malamnya dia mengambil upah menceraikan cili kering dari tangkai sebanyak 3 guni semalam. Satu guni harganya RM3.00. Maknanya belaiu dapat upah sebanyak RM9.00 satu malam.

Seorang telah menegurnya dan berkata upah itu tak berbaloi berbanding dengan kerja yang dilakukan. Baik berhenti saja. Jawab Pak Usop: " Bagi saya upah bukanlah sebab utama. Bila saya cabut satu tangkai saya dapat zikir 1 kali pada Allah. Dengan itu saya dapat zikir sebanyak bilangan 3 guni cili pada satu malam...Kalau berhenti kerja ni saya akan kehilangan 3 guni zikir pada satu malam.!" ...Allahummaghfirli...

KESIMPULAN
Kata bijak pandai, membetulkan cara berfikir (BERFIKIR SECARA POSITIF) adalah seumpama meletak sebuah keretapi di atas landasannya. Barulah dia akan sampai ke destinasinya. Salah cara berfikir (BERFIKIR SECARA NEGATIF) menyebabkan kita sampai ke destinasi yang salah.

Nota:
Orang yang paling positif ialah Nabi Muhammad s.a.w dan orang yang mencontohi beliau. Contoh lain tetap ada kelemahannya.

No comments:

Post a Comment