Monday, March 15, 2010

KOPITIAM TAK HALAL ?

kenyataan Tokey Kopitiam ini mengesahkan kejahilan mereka tentang halal dari segi syariat dan membuktikan logo halal swasta memang tidak bertanggungjawab.

Akreditasi halal perlu ikut syariat Islam bukan sebaiknya. Berhati-hatilah supaya makanan haram tak masuk ke perut dan menjadi darah daging.

Takut doa Allah tak terima.

Pengusaha beri alasan syarat Jakim terlalu ketat

KUALA LUMPUR 15 Mac - Beberapa pengusaha kopitiam memberi alasan mereka tidak memohon sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana syarat-syarat yang ditetapkan jabatan itu terlampau ketat dan tidak masuk akal.

Pemilik kopitiam Uncle Lim's Cafe, Datuk Goh Seng Toh berkata, sebab itu syarikatnya memohon sijil halal yang dikeluarkan syarikat swasta kerana perkhidmatan mereka lebih efisien dan cepat.

"Sebelum ini saya pernah memohon sijil halal daripada Jakim tetapi permintaan mereka terlalu tidak munasabah.

"Contohnya Jakim meminta agar setiap produk Uncle Lim's disenaraikan bahan mentahnya satu persatu dan ia adalah perkara yang tidak munasabah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, sebahagian besar kopitiam di negara ini masih gagal mendapatkan sijil halal Jakim.

Menurut Mashitah, hanya dua kopitiam di negara ini yang mempunyai sijil halal sah iaitu Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.

Sementara itu Seng Toh berkata, untuk menjimatkan masa, beliau kemudiannya membuat permohonan mendapatkan sijil halal daripada syarikat swasta yang turut menyediakan perkhidmatan sama seperti Jakim.

"Saya menganggap, Jakim tidak mahu menolong peniaga bahkan menyusahkan peniaga dengan prosedur yang tidak praktikal," tambah beliau.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kluang Station, Phun Jun Jin menjelaskan, syarikatnya masih lagi belum memohon sijil halal daripada mana-mana pihak.

"Setakat ini kopitiam Kluang Station menjalankan operasi tanpa menggunakan sijil halal kerana sebelum ini kami banyak mendapat tawaran daripada agensi swasta yang menawarkan sijil halal.

"Namun pihak kami enggan untuk membeli sijil tersebut kerana tidak mahu menipu pelanggan kami dengan sijil halal yang tidak diiktiraf.

"Kami juga sukar untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf kerana proses permohonan yang kurang jelas kepada pengusaha bukan Islam khususnya,'' jelas beliau.

Dalam pada itu, Jun Jin mencadangkan supaya satu badan di bawah Jakim ditubuhkan bagi memudahkan proses permohonan sijil tersebut melalui penyampaian maklumat yang berkesan dan jelas.

Sementara itu, jurucakap kepada Old Town White Coffee yang enggan namanya disiarkan menjelaskan, syarikat itu pada masa ini menggunakan sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta.

"Namun, pada masa yang sama, kami telah pun memohon untuk mendapatkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

''Kita jangka permohonan itu diluluskan dalam masa terdekat," katanya.


No comments:

Post a Comment